Teks :: Hafsah Ismail
Ramai sebenarnya yang bertanya, bagaimana saya mulakan perniagaan saya.
Bagaimana saya mengumpul modal untuk memulakan perniagaan.
Bagaimana saya bermula.
Jawapan saya : Hanya dropship. Modal permulaan saya tidak sampai RM50 pun.
Dropship – mungkin istilah yang janggal dan jarang didengar oleh sesetengah orang. Namun bagi mereka yang setiap hari bergelumang dalam dunia perniagaan, istilah ini pasti sudah tidak asing lagi di telinga mereka.
Tentu ada di antara anda yang ingin memulakan perniagaan tanpa perlu merasa sakit kepala; bimbang tentang modal, bimbang produk yang dijual tidak ada keberkesanannya atau sambutan dingin pembeli terhadap produk yang dijual. Jika ada dalam kalangan anda yang mempunyai alasan-alasan sebegini, maka kaedah Dropship mungkin boleh menjadi pilihan perniagaan anda.
Dropship merupakan istilah jual beli yang menjadi trend terkini dalam dunia perdagangan dalam talian. Dropship atau juga dikenali sebagai Dropshipping merupakan satu rantaian perniagaan yang melibatkan penjualan sesuatu produk atau servis dengan pengedar (iaitu anda). Pengedar hanya perlu membayar kepada pembekal harga produk dan servis yang dijual kepada pembeli. Tugas anda hanyalah untuk mempromosi produk yang dijual oleh pembekal dan melakukan urus niaga pesanan dengan pembeli. Setelah pembayaran dibuat oleh pembeli, anda akan menghantar pesanan itu kepada pembekal yang seterusnya akan membungkus dan menghantar produk tersebut terus ke alamat pembeli. Konsep yang nampak mudah bukan? Anda sebagai pengedar akan memperoleh keuntungan ‘atas angin’, tanpa perlu menyimpan stok atau menyediakan kos modal yang tinggi. Kebiasaannya keuntungan anda adalah berdasarkan perbezaan margin harga jual yang diberikan oleh pembekal kepada anda sebagai agen Dropship dengan harga yang ditawarkan kepada pembeli.
Proses asas dalam bisnes dropship begini:
- Anda promosikan produk dari pembekal
- Pembeli membeli produk dari anda
- Pembeli membayar kepada anda mengikut ‘Harga Jualan’
- Anda membayar ‘Harga Kos’ kepada Pembekal (anda terus ambil margin keuntungan)
- Pembekal menghantar produk kepada Pembeli
Mana-mana bisnes pasti ada cabaran dan risiko yang perlu dihadapi. Ini dikira sebagai adat dalam perniagaan. Ini antara cabaran utama dalam mana-mana bisnes berkonsepkan dropship
- Mencari pembekal yang boleh dipercayai
- Mendapatkan pembekal yang boleh menawarkan ‘Harga Kos’ yang rendah (supaya margin anda tinggi)
- Kemaskini jumlah stok dengan tepat (supaya anda tak ‘terjual’ produk yang dah habis)
- Proses penghantaran yang lambat dan tiada rujukan untuk Pembeli dan Penjual
- Tiada rekod urusan jual beli dan semua transaksi.
Tips Kejayaan Perkhidmatan Dropship
Tip 1: Kaji Pasaran Anda – Cari produk yang senang untuk dijual! Buat sedikit kajian untuk mengetahui permintaan pasaran anda, agar hasil jualan anda lebih banyak dan lebih tinggi keuntungan yang diperoleh. Anda juga boleh menjual produk yang anda minati, kerana secara semula jadinya anda akan menjadi lebih berminat untuk memasarkan produk yang anda jual itu.
Tip 2: Kepelbagaian produk yang ditawarkan oleh Dropshipper. Ada kalanya lebih senang untuk menjana keuntungan apabila terdapat kepelbagaian produk yang dijual, agar pembeli mempunyai pilihan ketika membeli. Sudah tentu anda tidak mahu pembeli anda berpaling dan membeli dengan penjual yang lain semata-mata atas alasan barangan yang dikehendaki tidak dijual oleh anda. Jika produk yang dijual adalah produk makanan, pastikan anda menjaga sensitiviti para pembeli. Cari produk yang diiktiraf HALAL oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Pastikan juga ia mempunyai standard dan kelulusan piawaian yang diperlukan dan diiktiraf oleh badan-badan piawaian seperti SIRIM.
Tip 3: Gunakan platform dalam talian untuk jualan anda – Promosi produk anda secara meluas melalui pelbagai platform dalam talian seperti laman web e-dagang, Facebook, blog, di laman web bidaan seperti e-bay dan juga di laman web forum seperti mudah.com. Kunjung laman web yang berbentuk forum ini dan sesekali komen terhadap isu-isu semasa. Jangan lupa untuk membuat pautan laman web anda setiap kali anda memberi komen anda. Anda juga boleh membuat pautan laman web anda di dalam e-mel anda. Terdapat pelbagai lagi cara untuk anda mempromosikan perniagaan anda, maka jadilah seorang yang lebih kreatif untuk membolehkan perniagaan anda lebih dikenali.
Tip 4: Tentukan berapa peratus keuntungan yang ingin anda peroleh. Dengan adanya matlamat seperti ini, maka anda akan lebih fokus dalam perniagaan anda. Buat perbandingan harga produk yang ditawarkan oleh agen DropShip yang lain dan pastikan keuntungan yang diperoleh berbaloi dengan daya usaha anda. Jangan lupa untuk menyediakan kunci kira-kira untuk anda mengira keuntungan perniagaan anda pada setiap hujung bulan.
No comments:
Post a Comment